Saturday, May 11, 2013

PRU13 Sudah Berlalu, Namun Politik Masih Dipermain-mainkan

Pilihanraya umum ke-13 (PRU13) telahpun berlalu. Yang menang, tetapi menang dengan tipis, yang kalah namun dapat menambahkan kerusinya dengan kadar peratusan undi baginya telahpun meningkat. Yang sepatutnya diteruskan adalah agenda pembangunan dan ekonomi negara, namun nampaknya politik masih asyik dipermainkan di kedua-dua belah pihak.

Di pihak Barisan Nasional (BN), Umno yang berjaya menambah bilangan kerusinya terus mengasak gabungan parti-parti pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) yang kononnya mereka telah berjaya meracuni pemikiran rakyat sehinggakan majoriti rakyat telah mengalihkan undi mereka kepada PR. Tidak kurang daripada itu, Umno juga turut memainkan sentimen perkauman sekali lagi dengan menyatakan keputusan PRU13 baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa "Tsunami Cina" telah berlaku apabila rakan kongsi di dalam BN iaitu, MCA, Gerakan dan SUPP semakin kecundang kerana masyarakat Cina enggan menyokong ketiga-tiga parti komponen BN tersebut walaupun pelbagai insentif, bantuan dan inisiatif telah disampaikan kepada masyarakat tersebut.

Di pihak MCA pula, apakah tindakbalas mereka yang seterusnya? Mereka merasa sungguh "kecewa" dengan "perbuatan" masyarakat Cina pada keseluruhannya telah memulau mereka di dalam PRU13 yang lalu. Oleh itu, MCA di kebanyakan negeri dan kawasan bertindak menutup terus pejabat-pejabat dan pusat-pusat perkhidmatan mereka, serta meletakkan semua jawatan-jawatan kerajaan mereka sebagai menunjukkan rasa tidak puashati mereka terhadap masyarakat Cina yang telah mereka "jasai" selama ini.

Malah di peringkat tertinggi MCA pula, rasa tidak puashati para pemimpin parti terhadap presiden MCA Dr Chua Soi Lek mula kedengaran dari setiap sudut, masing-masing menyeru Dr Chua agar tidak lagi menunggu  pemilihan parti yang akan datang, sebaliknya meletakkan jawatannya sebagai presiden parti dengan serta merta sebagai memperakui tanggungjawabnya terhadap kekalahan teruk MCA di dalam PRU13.

Turut menekan dengan hebat adalah golongan veteran MCA yang telah berkumpul baru-baru ini untuk memperhebatkan tekanan mereka terhadap Dr Chua dengan menyatakan bahawa presiden parti itu sudah menjadi semakin tidak popular di kalangan ahli-ahli parti berdasarkan cara kepimpinannya yang tidak telus dan demokratik, di samping itu turut mementingkan kroni-kroninya di dalam parti dan kerajaan tanpa mengutamakan kepentingan parti pada keseluruhannya.

Manakala di dalam Gerakan pula, keseluruhan jentera parti tersebut terhenti dengan begitu sahaja di seluruh negara berikutan kekalahan teruknya di dalam PRU13 yang lalu. Pengerusi BN Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow telah bertindak meletakkan semua jawatannya dalam parti akibat kekalahan BN Pulau Pinang. Begitu juga dengan Setiausaha Gerakan Pulau Pinang Goh Kheng Sneah yang turut melepaskan semua jawatannya dalam parti kerana terlalu kecewa dengan kekalahan dalam PRU13 yang lalu.

Apa pula kata atau tindakan Presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon? Beliau masih lagi membisu sejak daripada malam 5hb Mei 2013 lagi dan masih belum lagi mengeluarkan kenyataan rasmi bagi pihak parti berhubung dengan keputusan PRU13 yang dialami oleh Gerakan baru-baru ini. Kekecewaan di kalangan ahli-ahli Gerakan mengenai keputusan PRU13 jelas terpapar, apabila ramai di kalangan mereka telahpun bertindak menutup pusat-pusat perkhidmatan parti, khususnya di negeri Pulau Pinang dengan serta merta kerana telah kehilangan semangat untuk terus berjuang setelah ditolak mentah-mentah sekali oleh rakyat pada minggu yang lalu.

Justeru daripada itu, ramai yang tertanya-tanya, adakah Gerakan kini sedang menuju ke arah pembekuan atau "cold storage" kerana masih belum pasti lagi apakah tindakan susulan yang perlu parti tersebut buat selepas PRU13 itu? Ramai ahli-ahli Gerakan turut berada di ambang tidak menentu berikutan sikap para pemimpin parti yang terus membisu dan tidak ada arah tuju yang jelas. Malah yang hairannya tidak ada ahli-ahli parti yang berani mendesak agar pemimpin tertinggi parti berundur, seperti apa yang sedang berlaku pada MCA sekarang.

Yang jelas, tetapi kurang jelas di mata umum, Gerakan kini berada di ambang pembekuan. Persoalannya adalah patutkah Gerakan mengundurkan diri mereka daripada gabungan BN? Hakikatnya adalah ramai ahli-ahli parti mahukan Gerakan berbuat demikian, namum pemimpin tertingginya masih berdegil masih ingin terus bersama dengan gabungan BN.

Manaka di negeri Sarawak pula, parti komponen BN negeri kedua terbesar, SUPP turut mengalami nasib yang sama seperti rakan-rakannya di Semenanjung, MCA dan Gerakan. Akibat kekalahan tersebut baru-baru ini, para pemimpin SUPP mula menyalahkan masyarakat Cina di negeri tersebut kerana "tidak terhutang budi" sambil mengancam bahawa hak-hak masyarakat Cina di negeri Sarawak akan hilang terus jika kerajaan negeri yang akan datang tidak diwakilkan oleh SUPP lagi. Rasa tidak puashati di kalangan pemimpin SUPP tempatan terhadap presiden parti mereka yang berpusat di Kuala Lumpur turut terasa namun sehingga kini masih tidak ada lagi tentangan secara terbuka.

Hampir pada setiap hari lamanya, sejak daripada 6hb Mei lagi, akhbar-akhbar serta media-media utama milik kerajaan asyik mengasak masyarakat Cina kerana pada majoritinya mereka telah memilih PR untuk mewakili mereka walaupun, parti-parti komponen BN yang mewakili masyarakat Cina telah banyak melakukan "jasa" mereka terhadap golongan tersebut.

Di sebelah PR pula, parti-parti komponennya turut tidak terkecuali daripada masalah politik dalaman masing-masing. Setelah berjaya mengekalkan Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, serta dapat mengasak masuk ke dalam Johor, Negri Sembilan dan Melaka, tetapi kalah di negeri Kedah dan berjaya mengekalkan kuasa yang cukup seimbang dengan pihak BN di Perak, kepimpinan PR masih tertanya-tanya sama ada siapakah akan dilantik menjadi Ketua Pembangkang Parlimen yang baru.

Negeri PR yang pertama telah mengangkat sumpah untuk berkerajaan adalah Pulau Pinang. Setakat ini, hanya Pulau Pinang sahaja yang berjaya diperkukuhkan kedudukannya dengan DAP sebagai peneraju utama kerajaan PR negeri tersebut. Di negeri Selangor pula, walaupun PR negeri berjaya menguatkan kedudukannya, namum parti komponen utama PR, iaitu PKR masih dibelenggu dengan politik berpuak-puak dalam parti tersebut dan keadaan masih lagi tidak menentu mengenai siapakah yang akan menjawat jawatan Menteri Besar.

Di negeri Kelantan pula, ianya menyaksikan persaraan Menteri Besar yang lalu dan digantikan pula dengan seorang pemimpin baru. Masalah ditambah pula apabila orang nombor dua terkuat di dalam PAS Kelantan Husam Musa tidak terdapat di dalam senarai baru Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), lantas daripada itu, telah menimbulan rasa tidak puashati merek di kalangan para pengikut setia Husam.

Di negeri Kedah pula, masalah dalaman PAS telah menjadi antara salah satu daripada penyebab utama mengapa kerajaan pimpinan parti tersebut kalah di dalam PRU13 yang lalu. Faktor-faktor yang paling utamanya adalah agenda-agenda Hududnya yang cuba dilaksanakan di negeri tersebut, ditambah pula dengan perbalahan dikalangan ahli-ahli Exco negeri sebelumnya dengan Menteri Besar. Di samping itu, PKR Kedah turut tidak terlepas daripada perbalahan di antara puak dalam parti tersebut yang juga telah menyebabkan ramai di antara ahli-ahli dan para penyokong parti tersebut tidak keluar mengundi pada PRU13 yang lalu.

Akhirnya sekali, di pihak DAP pula, boleh dikatakan parti tersebut adalah merupakan komponen PR yang paling berjaya di dalam PRU13 kali ini kerana dengan penambahan jumlah kerusi-kerusi parlimen dan dewan undangan negeri yang ditandingi dan dimenanginya setelah berjaya menumbangkan ketiga-ketiga parti gergasi dalam BN, iaitu MCA, Gerakan dan SUPP dalam satu pilihanraya sekaligus, suatu kejayaan yang cukup membanggakan yang tidak pernah dialaminya sebelum ini.

Persoalannya di sini adalah sama ada DAP secara rasminya telah mengambil-alih peranan MCA, Gerakan dan SUPP sebagai wakil masyarakat Cina, ataupun masyarakat Cina serta kaum-kaum lain di negara ini telahpun mengorak langkah untuk keluar daripada politik perkauman, masih menjadi tanda tanya kerana rakyat jelata yang menyokong DAP kebanyakannya belum lagi menunjukkan kemantapan mereka terhadap identiti Bangsa Malaysia.

Mungkinkah sokongan rakyat terhadap DAP baru-baru ini hanya berdasarkan emosi dan ingin mencuba yang baru setelah MCA, Gerakan dan SUPP serta BN telah gagal di mata mereka? Oleh itu, untuk mengekalkan sokongan rakyat jelata terhadap DAP, parti tersebut perlu mengkaji dan mempelajari apa yang telah dan sedang berlaku di dalam MCA, Gerakan dan SUPP bagi mengelakkan DAP itu sendiri daripada terjerumus di dalam kancah seperti apa yang sedang dialami oleh lawannya sekarang.

Untuk itu, DAP juga perlu belajar menerima hakikat bahawa parti tersebut perlulah sentiasa berubah dari masa ke semasa di dalam tempoh yang singkat bagi mengejar perubahan masa dan minda rakyat yang kini semakin memberikan penekanan terhadap pencapaian daripada mengikuti sejarah dan jasa para pemimpin yang lalu.

Di dalam menghadapi kejayaan yang besar kali ini, DAP tidak juga terkecuali daripada politik dan perbalahan di antara puak dalam parti tersebut. Setakat ini, yang kita dapat lihat pada hari ini adalah kumpulan yang diterajui oleh Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng adalah merupakan golongan yang paling kuat, sambil diikuti dengan kumpulan yang seterusnya yang dipimpin oleh Datuk Teng Chang Khim (di negeri Selangor) dan Dr Boo Cheng Hau (di negeri Johor), serta gabungan sepupu Datuk Ngeh Koo Ham dan Ngar Kor Ming yang menguasai Perak.

Nampaknya kejayaan besar DAP kali ini turut menyaksikan penambahan masalah dalaman parti tersebut, oleh kerana jumlah keahlian parti tersebut dijangka akan terus meningkat, begitu juga dengan puak-puak yang ingin mengejar kuasa dan kedudukan dalam parti akan turut bertambah. Terpulanglah dengan pucuk pimpinan parti tersebut mengenai cara yang paling berkesan untuk menguruskan keadaan tersebut.

Di dalam kedua-dua BN dan PR, politik berpolitik serta perbalahan dalaman sememangnya tidak dapat dielakkan dengan sepenuhnya kerana di dalam senario politik pada hari ini, PR boleh juga dikatakan telah berjaya mengimbangi BN di dalam peratusan sokongan dan undi yang diperolehi. Ini bermakna, rakyat jelata telah mula yakin agar kedudukan dan kebolehan PR untuk menandingi BN dan berkerajaan pada masa yang akan datang.

Ini bermakna rakyat tidak akan teragak-agak lagi untuk menyokong parti-parti pembangkang secara terbuka  oleh kerana sudah terdapat perseimbangan kuasa di antara BN dan PR sekarang. Walaubagaimanapun, konteks rakyat perlu diutamakanyang sebenarnya itu, masih tidak lagi jelas sama ada ianya dari BN ataupun PR. Bergantunglah kepada keselesaan dan kepuasan rakyat jelata terhadap keadaan tersebut.

Hakikatnya, di dalam keadaan politik dan senario, serta permintaan rakyat yang telah menjadi semkin kompleks pada hari ini, kajian demi kajian yang menyeluruh seharusnya dilaksanakan dengan lebih kerap lagi bagi memastikan dasar-dasar umum yang diperkenal dan dilaksanakan itu tidak terlanjur daripada kehendak rakyat jelata.