Kabinet baru di bawah pimpinan presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Najib Razak telahpun diumumkan baru-baru ini. Nampaknya bilangan menteri dan timbalan menteri di dalam barisan kabinet baru ini telah berkurangan jika dibandingkan dengan kabinet yang terdahulu.
Namun demikian, kami berpendapat bahawa arah tuju kabinet baru ini masih kurang jelas. Beberapa kementerian yang bertaburan telah digabungkan, manakala ada pula dikekalkan. Yang menghairankan pihak kami adalah kenapa pula ada beberapa buah kementerian yang sangat memerlukan tenaga sehinggakan dua orang menteri atau lebih untuk mengerjakan portfolio tersebut?
Kementerian yang paling ramai menteri, seperti yang dilaporkan sebelum ini adalah Jabatan Perdana Menteri (JPM), terdapat lapan orang menteri yang berkhidmat di bawah JPM. Apakah peranan yang khusus bagi setiap menteri dalam JPM? Kalaulah menteri-menteri tersebut dilantik berdasarkan beberapa perkara yang khusus, kenapa pula tidak dinamakan menteri-menteri tersebut untuk portfolio-portfolio yang telah dikhususkan itu? Contohnya adalah seperti hal-ehwal undang-undang dan parlimen; pencegahan rasuah dan pembaharuan dalam kerajaan; keagamaan dan perhubunngan di antara kaum dan agama; hal-ehwal Sabah dan Sarawak; perancangan ekonomi dan sebagainya.
Di antara menteri-menteri dalam JPM tersebut, terdapat tiga orang yang bukan dari kalangan ahli politik tetapi lebih kepada golongan teknokrat. Jika sekiranya ahli-ahli teknokrat ini yang mempunyai kepakaran yang tertentu dilantik sebagai menteri, kenapa pula tidak mengatur tugasan mereka terus ke kementerian-kementerian yang khusus yang benar-benar memerlukan kepakaran mereka, seperti kementerian kewangan; kementerian perdagangan antarabangsa dan industri; kementerian sains, teknologi dan inovasi; serta menggantikan kementerian-kementerian yang lama dan tidak efektif dengan kementerian-kementerian yang baru yang boleh mengkhusus keseluruhan tenaganya terhadap beberapa siri transformasi kerajaan, seperti pembenterasan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan; pemulihan integriti badan-badan penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, serta lain-lain agensi-agensi yang berkaitan.
Kenapa pula ianya harus dipusatkan ke hanya JPM sahaja? Kerana Najib tidak inginkan tugasan tersebut dikhususkan mengikut portfolio kementerian agar beliau dapat memerhati secara langsung. Masalahnya adalah, adakah beliau mempunyai masa yang mencukupi untuk memerhati keseluruhan tugasan menteri-menteri tersebut dengan berkesan, sedangkan beliau adalah juga seorang menteri kewangan pertama.
Ya, berkenaan dengan kementerian kewangan, kenapa pula perdana menteri masih ingin menguasai terus kementerian tersebut tanpa memberikan kepercayaan terus kepada seorang menteri sahaja. Jikalau ahli politik itu tidak beberapa pakar mengenai bidang ekonomi dan kewangan, serahkan sahaja kepada seorang teknokrat yang pakar seperti bekas tokoh bank, Abdul Wahid Omar. Tak perlu dua orang menteri kewangan untuk menguruskan perbendaharaan negara. Tengoklah negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Amerika, atapun negara China yang begitu besar, negara-negara ini hanya mempunyai seorang menteri kewangan sahaja.
Satu lagi kementerian yang mendapat perhatian adalah kementerian pelajaran dan pengajian tinggi yang pada asalnya terdiri daripada dua kementerian yang berasingan. Kenapa pula ianya memerlukan dua orang menteri untuk mengurusakannya? Pada peringkat awal kedua-dua portfolio ini sememangnya terletak di dalam satu kementerian sahaja. Terlalu banyak sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk diuruskan? Ahli-ahli politik tidak mempunyai kepakaran yang mencukupi untuk menguruskan kementerian tersebut, ataupun lain-lain kekurangan yang tidak dapat dipastikan?
Jika sekiranya kerajaan BN serius dengan program transformasinya, sepatutnya mereka lebih teliti di dalam perkara tersebut dengan mendapatkan lebih ramai tenaga pakar daripada golongan teknokrat yang mempunyai pengkhususan di dalam bidang-bidang tertentu daripada membiarkan sahaja program-program tersebut diuruskan oleh ahli-ahli politik yang tidak tahu mengurusnya ataupun asyik mempolitikkan peranannya di media umum tanpa melakasanakan sebarang langkah-langkah yang berkesan.
Bagi membolehkan golongan teknokrat ini menganggotai jemaah menteri, seharusnya mempnyai satu kelonggaran daripada mewajibkan seseorang calon itu menjadi ahli dewan negara (senator) terlebih dahulu. Jikalau ianya adalah merupakan keperluan perlembagaan, maka ianya perlu dipinda bagi membolehkan perlantikan secara terus dilakukan tanpa perlu melalui saluran politik yang begitu padat.
Apa gunanya jika sekiranya sesebuah kerajaan asyik mengketengahkan program-program transformasinya, namum tidak dapat mencapai tujuan tersebut dengan berkesan oleh kerana sistem ataupun undang-undang yang sedia ada, jelas menghadkan perlaksanaan tersebut.
Kita ambil contoh beberapa negara-negara maju seperti Korea Selatan, Amerika dan negara China, menteri-menteri mereka adalah dilantik daripada kalangan golongan teknokrat dan mereka-mereka ini adalah menteri-menteri sepenuh masa tanpa perlu dibebani tugas-tugas sebagai ahli parlimen atau kongres (wakil rakyat). Boleh tak negara kita mencuba sistem kabinet sedemikian rupa? Pengurusan kerajaan, biarkanlah golongan teknokrat yang membantu perdana menteri, manakala ahli-ahli parlimen menumpukan sepenuh perhatian mereka di dalam hal-ehwal parlimen (jawatankuasa-jawatankuasa khas memerhati prestasi dan pencapaian portfolio-portfolio) dan juga tugas-tugas mereka sebagai wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Sistem tersebut ada juga kebaikan. Ianya boleh mengelakkan daripada berlaku konflik di antara tugas dan politik yang sering bertentangan (conflict of interests), dan pada masa yang sama ianya juga dapat menghindar gejala rasuah dan peyelewengan daripada berleluasa di dalam kerajaan oleh kerana nafsu ingin mengutamakan kepentingan politik diri masing-masing.
Walaubagaimanapun, kita biarkan sahaja kerajaan ini melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya terlebih dahulu. Sambil mereka menjalankan tugasan mereka, kita, sebagai rakyat dan pengundi, yang perlu memerhati setiap prestasi dan pencapaian mereka dengan lebih teliti.