Friday, April 19, 2013

Bila tibanya PRU, barulah menampakkan yang sebenarnya

Apabila bermulanya musim pilihanraya umum (PRU) kita semua akan nampak pelbagai karenah yang berlaku baik di sebelah Barisan Nasional (BN), mahupun di pihak Pakatan Rakyat (PR). Pelbagai bentuk masalah, persengketaan, pertelagahan dan perbalahan antara puak akan terbongkar untuk tatapan umum.

Bagaimana ianya berlaku? Apabila seseorang pemimpin atau wakil rakyat yang lalu tidak dicalonkan semula; apabila seseorang wakil rakyat yang lalu dicalonkan ke kerusi-kerusi yang tidak dapat dimenangi dengan mudah; bila seseorang pemimpin itu ataupun wakil-wakil rakyat yang lalu tidak sehaluan dengan para pemimpin tertinggi puak, puak yang berbalah di antara satu sama lain. Malah ada yang diketepikan oleh kerana prestasinya kurang memuaskan sewaktu berkhidmat pada penggal yang lalu.

Dan apabila diumumkan seseorang pemimpin atau wakil rakyat tersebut telah diketepikan, bermacam-macam tindakbalas dapat kita lihat hampir pada setiap hari di dalam laporan akhbar-akhbar, berita-berita daripada internet, di kalangan ahli-ahli dan para pemimpin parti yang bertanding dan sebagainya.

Masing-masing merasa tidak puashati terhadap tindakan para pemimpin mereka, alasannya adalah kerana mereka telah bertungkus lumus selama beberapa tahun untuk membuktikan kebolehan mereka sebagai seorang wakil rakyat, ada yang menuduh pucuk pimpinan parti pilih kasih, berpihak kepada puak lain yang lebih berpengaruh dan sebagainya.

Tindakbalas yang seterusnya daripada mereka-mereka ini adalah meletakkan jawatan mereka dan keluar parti untuk bertanding sebagai calon bebas, keluar parti dan menyertai parti lain untuk bertanding atas tiket parti yang baru disertainya.

Ianya bukan sahaja sedang menular di dalam PR, bahkan BN turut terasa bahang akibat daripada tindakan sebahagian besar pemimpin-pemimpin parti yang kecewa kerana telah diketepikan dengan begitu sahaja.

Boleh juga dikatakan, apabila terjadinya tindak balas tersebut, ianya akan menimbulkan beberapa tandatanya sama ada sesiapa yang menyertai sesebuah parti itu benar-benar faham dengan perjuangan dan objektif sesebuah parti politik yang mereka sertai, dan pada masa yang sama, adalah sesebuah parti politik itu mempunyai ideologi parti yang kukuh bagi mendidik dan memastikan ahli-ahli parti mereka senantiasa taat setia kepada perjuangan parti?

Dalam pada itu, apabila seseorang pemimpin itu keluar parti untuk menyertai parti lain ataupun bertanding sebagai calon bebas semata-mata kerana ingin bertanding di dalam PRU, ianya berkemungkinan besar akan menjejaskan kredibilitinya, jika sekiranya pemimpin tersebut tidak mempunyai alasan-alasan yang kukuh dan munasabah yang menyebabkan beliau terpaksa berbuat demikian.

Di mana silapnya di dalam kancah politik ini yang penuh dengan kekecewaan dan adegan-adegan keluar parti? Pertamanya, para pemimpin atau calon-calon yang pentingkan diri sendiri, kedua sengketa antara puak di dalam parti, ketidakpuashati terhadap pucuk pimpinan parti, dan kelemahan pemimpin ataupun calon-calon tu sendiri.

Kesilapan tersebut kerap berlaku oleh kerana kebanyakan parti-parti politik pada hari ini telah lupa dengan perjuangan asal dan ideologi politik mereka yang sebenarnya. Fenomena yang dapat kita lihat pada hari ini adalah kebanyakan menyertai yang menyertai parti-parti politik adalah kerana ingin mendapatkan faedah, bertanding di dalam pilihanraya, memegang jawatan dalam parti dan untuk mengejar kedudukan serta pangkat di dalam kerajaan.

Fakta-fakta yang sebenar yang perlu dipraktikkan oleh seseorang pemimpin dan ahli adalah mempelajari dan memahami ideologi parti yang mereka sertai, perjuangan yang pernah dilalui oleh parti berkenaan dan apakah   yang dapat disumbangkan oleh para pemimpin dan ahli berkenaan kepada parti yang mereka anggotai.

Pendek kata, seseorang pemimpin atau ahli itu sepatutnya memikir apakah yang dapat disumbangkan kepada parti berkenaan yang dianggotai mereka dan bukannya apa yang dapat parti sumbangkan kepada mereka.

Yang dapat kita saksikan sekarang adalah masalah tersebut sedang menular di dalam parti-parti yang mempunyai jumlah keahlian yang begitu besar sehingga tidak terbilang angkanya dan akibat daripada itu kualiti keahlian dalam parti-parti tersebut akan menurun mendadak apabila tidak ada proses tapisan yang menyeluruh bagi memastikan mutu keahlian terjamin.

Boleh dikatakan kebanyakan parti-parti politik yang mempunyai jumlah keahlian yang begitu besar telah hilang kawalan terhadap struktur dan organisasi dalam parti mereka.