Wednesday, June 5, 2013

Cadangan BN Sebagai Parti Tunggal Gagal Walaupun Belum Bermula

Setelah Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan tipis di dalam pilihanraya umum yang ke-13 (PRU13) pada 5hb Mei yang lalu, timbul pula cadangan di kalangan pemimpin-pemimpin kanan BN yang inginkan supaya semua parti-parti komponen BN dibubarkan dan keahliannya digabungkan di dalam BN sebagai sebuah parti politik tunggal.

Cadangan tersebut disokong kuat oleh sebuah parti komponen BN, iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dengan mengatakan bahawa sebuah parti tunggal BN yang mewakili semua kaum dan agama adalah perlu bagi membuktikan bahawa perpaduan antara kaum di bawah payung BN adalah lebih berkesan dan berjaya jika dibandingkan dengan gabungan-gabungan parti-parti politik yang lain.

Namun demikian, cadangan BN sebagai sebuah parti tunggal dengan penggabungan kesemua parti-parti komponen BN melalui pembubaran parti masing-masing telahpun gagal sama sekali walaupun ianya belum bermula.

Ramai di kalangan pemimpin BN, khususnya Umno menyuarakan bahawa parti-parti komponen BN masih belum bersedia bagi menghadapi keadaan sedemikian kerana ianya terlalu terburu-buru apabila cadangan penggabungan tersebut dikemukakan.

Malah seorang pemimpin kanan Umno Sabah turut memberikan pandangan beliau yang kononnya syak wasangka masih juga timbul di kalangan pemimpin-pemimpin yang berbilang kaum, masing-masing yang selalu bimbang akan kaum mereka diketepikan, tidak diendahkan, terpinggir, berat sebelah di dalam perkongsian kuasa dan sebagainya.

Manakala seorang lagi pemimpin kanan BN daripada Umno turut menyalahkan rakyat jelata yang kononnya masih berfikir mengikut jalur perkauman sehingga pada hari ini.

Masalah utama di sini adalah kenapa pula rakyat jelata harus dipersalahkan dengan politik perkauman di dalam BN yang didapati masih menebal? Kenapa pula para pemimpin BN tidak melihat pada diri mereka sendiri, yang sehingga pada hari ini masih kuat berpegang kepada ideologi-ideologi perkauman dan parti-parti komponen BN masing-masing?

Adalah tidak adil sama sekali bagi para pemimpin BN yang menyalahkan rakyat jelata yang masih berfikir mengikut jalur perkauman pada hari ini. Kalau adapun, itu semuanya adalah berpunca daripada kaedah pecah dan perintah yang diamalkan oleh BN selama ini.

Parti-parti politik yang masih berasaskan pegangan perkauman yang begitu kuat bergabung di bawah BN, kononnya demi perpaduan nasional, tetapi sebenarnya dasar-dasar yang diamalkan oleh kerajaan BN selama ini masih berdasarkan pengasingan mengikut kaum-kaum yang tertentu, bermulalah daripada kaum yang bermajoriti tinggi, diikuti pula dengan kaum yang kedua terbesar, ketiga terbesar dan seterusnya.

Adakah kesemua pendekatan yang dipelopori oleh BN ini dianggap sebagai perpaduan yang sejagat? Tidak sama sekali, ianya merupakan suatu perpecahan yang sebenarnya tidak disedari oleh masyarakat umum. Kita tengoklah kenapa masih ada sistem pendidikan yang beraliran kaum-kaum yang tertentu sehingga pada hari ini? Kenapa pula ada sesuatu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang hanya mementingkan satu kaum sehingga pada hari ini? Kenapa pula masih ada dasar-dasar dan undang-undang yang berat sebelah, mengutamakan satu kaum sahaja? Kenapa pula masih ada monopoli yang begitu kuat sekali di antara kaum di dalam bidang-bidang ekonomi negara yang tertentu?

Kalaulah para pemimpin BN masih belum lagi matang dari segi perpaduan di antara kaum, janganlah dipersalahkan pula kepada rakyat jelata, kerana yang menentukan dasar-dasar negara ini adalah kerajaan BN. Kalaulah para pemimpin BN masih gagal untuk mencapai kata sepakat bagi pembubaran parti-parti komponen BN masing-masing untuk digabungkan di dalam satu parti tunggal BN, itulah masalah utama mereka yang masih mementingkan diri mereka sendiri.

Sebenarnya, rakyat jelata telahpun bersedia untuk melihat politik di tanah air kita ini digerakkan mengikut naluri pencapaian melalui kaedah persaingan yang sihat, ketelusan, akauntabiliti dan konsep siapa yang berusaha maka dialah yang patut menerimanya. Yang masih menjadi batu penghalang terhadap kesemua impian ini adalah BN.

Janganlah diperalatkan lagi rakyat jelata dengan nafsu-nafsu politik perkauman BN yang hanya mementingkan diri mereka sahaja.