Membentuk masyarakat yang adil dan saksama, prihatin serta bantu membantu. Sistem yang wujud selama ini jelas membawa negara ke arah kehancuran ekonomi dan sosial. Hutang negara yang semakin meningkat serta gejala sosial yang tidak dapat dikawal. Korupsi atau rasuah seamakin berleluasa sehinggakan hasil-hasil bumi, cukai pendapatan serta wang simpanan rakyat kini digunakan bagi menjamin penipuan yang dilakukan oleh pemerintah.
Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengketengahkan satu strategi pembangunan yang meletakkan rakyat sebagai agenda utama di dalam perancangan pembangunan ekonomi dan politik negara. Sebuah sistem yang mengetepikan dasar perkauman, mengketengahkan pembahagian hasil yang adil dan sama-rata serta sistem yang menghalang dari wujudnya penyelewengan dalam pentadbiran negara.
Sistem ini akan mencerminkan sebuah kerajaan yang mendahulukan rakyat di mana rakyat diberi peluang agar dapat memainkan peranan di dalam politik negara.
Politik
1) Sistem Pengundian Mengikut Nisbah / Proportional Voting System,
Ianya bertujuan untuk mendemokrasikan perwakilan di setiap peringkat dalam masyarakat supaya rakyat mampu bersuara dalam menentukan kesejahteraan setiap rakyat di Malaysia. Ini merupakan proses di mana perwakilan di setiap peringkat adalah lebih demokratik dan diwakilkan dengan baiknya.
Ini dilaksanakan dalam semua peringkat, bermula daripada peringkat Kerajaan Tempatan, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
2) Undang-Undang,
Undang-undang yang zalim dan menindas rakyat (Draconian Laws) seperti, OSA, SOSMA, Akta Hasutan dan lain-lain hendaklah dimansuhkan supaya rakyat dapat menikmati erti kemerdekaan. Masyarakat sivil dibenarkan untuk berkembang untuk mendidik dan berkhidmat secara lebih baik kepada rakyat.
Ekonomi
1) Membangunkan ekonomi yang mencukupi (self-sufficient), antaranya merangka dasar pertanian melalui perancangan yang teliti dibuat untuk jangka masa panjang. Menjana penghasilan produk tempatan agar negara tidak lagi bergantung kepada produk import.
2) Memiliknegarakan aset-aset utama negara terutamanya dalam bidang kesihatan, pengangkutan, sumber air dan elektrik serta pendidikan.
3) Keluaran Negara Kasar (KNK) perlu disemak kerana ianya tidak mencerminkan sumbangan penting seperti kerja domestik surirumah dan pekerja ladang tidak berbayar.
4) Mengawal dan mengurangkan jurang ekonomi di antara semua kelas dalam masyarakat serta mencegah ketidaksamarataan dalam masyarakat tidak mengira jantina, bangsa dan kawasan.
5) Penerimaan dan perlaksanaan Akta Perangkuman Sosial (cadangan SABM-HAKAM) bagi mengatasi masalah luar bandar, ketidakseimbangan pendapatan dan kepinggiran yang dialami golongan isi rumah terendah di negara ini.
6) Mengawal kadar inflasi di Malaysia dan memastikan bahawa kos sara hidup tidak meningkat secara mendadak.
7) Penyelidikan dan pembangunan ditumpukan pada membangunkan pertanian, hasil pertanian dan sumber asasnya. Sebuah badan kebangsaan harus ditubuhkan untuk menyelaras penyelidikan dan pembangunan untuk semua sektor terutamanya sektor kesihatan.
Buruh/Pekerja
1) Menyemak semula semua undang-undang buruh dan kesatuan sekerja yang menindas dan zalim demi memastikan kebebasan pekerja untuk menjadi ahli kesatuan sekerja. Menyusun semula ketidakseimbangan di antara modal dan pekerja.
2) Status Mahkamah Industri haruslah dinaiktarafkan kepada Mahkamah Tinggi.
3) Kesatuan-kesatuan sekerja harus dijadikan badan bebas/autonomous yang tidak dipengaruhi oleh kerajaan atau mana-mana pihak.
4) Memastikan penubuhan Tabung Pemberhentian yang sudah lama tertangguh.
5) Memastikan kesemua pekerja asing diberikan hak dan gaji yang sama dengan pekerja Malaysia.
6) Prinsip "Kepada Setiap Satu Individu, Berdasarkan Perbuatan Beliau" (To Each According to His/Her Deeds) diamalkan oleh majikan tidak mengira pekerja tempatan atau asing, jantina dan bangsa.
Gender
1) Pembentukan ideologi dan hubungan antara jantina haruslah adil dan saksama pada setiap peringkat dari domestik hingga ke ruang awam. Justeru, segala bentuk patriaki wajib ditolak tidak kira dalam ruang domestik ataupun awam.
2) Segala bentuk diskriminasi di tempat kerja terhadap wanita (tanpa mengira umur atau jenis pekerjaan) dihapuskan.
3) Dengan memperkasakan perwakilan wanita di setiap peringkat dapat mempercepatkan proses keputusan tidak kira dari sudut ekonomi, sosial atau politik.
4) Segala pendidikan, usaha dan perlaksanaan mengurangkan keganasan terhadap wanita dan kanan-kanak.
Pembentukan Sosial & Budaya
1) Dari segi pembentukan nilai sosial dan norma, adalah penting supaya ianya dibina ke arah melahirkan rakyat yang bekerjasama dan berperikemanusiaan terhadap satu sama lain. Juga untuk membina kreativiti untuk setiap orang tidap mengira kelas dan jantina.
2) Budaya boleh diperkayakan dengan mengambil dan mengemaskinikan pelbagai budaya dan karya daripada masyarakat yang berlainan tidak kira sama ada ianya Barat, Rusia, Jepun, Arab dan lain-lain yang mempunyai sejarah seni dan karya yang kuat.
3) Usaha harus dibuat untuk melawan atau memikirkan semula budaya imperialis yang telah mempengaruhi pemikiran dan kelakuan golongan muda. Justeru itu, budaya hedonis, narsistik dan mementingkan diri perlu digantikan dengan nilai sosial yang lebih baik. Budaya alternatif perlu difikirkan dan dibentuk untuk keharmonian masyarakat.
Pendidikan
1) Rakyat berhak menikmati pendidikan percuma serta menjadi tanggungjawab kerajaan untuk fokus terhadap kualiti pendidikan yang lebih baik di mana rakyat diberi pengetahuan dan kemahiran untuk mengembangkan keupayaan mereka.
2) Sejajar dengan itu, orientasi utama dalam pendidikan adalah untuk menyemai nilai kemanusiaan dan didorong oleh tanggungjawab untuk berkhidmat demi kebaikan masyarakat.
3) Pendidikan yang hanya bertujuan untuk memenuhi permintaan pasaran dan nilai mementingkan diri perlu dibasmi secara beransur-ansur untuk mengelakkan jurang atau perbezaan di antara individu yang terlalu luas. Menghapuskan sifat mementingkan diri dan kewangan.
4) Perubahan ini bermula dari peringkat awal sehingga ke peringkat tinggi, misalnya dari tadika ke universiti.
5) Guru dan pembimbing pada semua peringkat harus dilatih secara profesional dan mempunyai nilai kemanusiaan yang baik (contoh: kasih sayang dan belas kasihan).
Kebajikan
1) Sistem penjagaan kesihatan yang percuma dan lebih berkualiti dengan kakitangan terlatih yang berorientasikan perkhidmatan dan penuh kasih sayang terhadap pesakit.
2) Pembaikan sistem penjagaan kesihatan di Sabah dan Srawak terutamanya untuk masyarakat pendalaman.
3) Peningkatan sistem penjagaan kesihatan untuk penduduk awam dan orang berkeperluan khas (people with special needs).
Alam Sekitar
1) Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyokong Piagam Bumi dan Hak Asasi Bumi sebagai tanda penghormatan kepada alam sekitar dan niatnya untuk memerlihara bumi dunia ini.
2) Segala bentuk pembangunan tidak boleh merosakkan flora dan fauna sewenang-wenangnya, termasuk juga pembangunan yang akan menyebabkan pencemaran air dan udara. Hanya "Industri Yang Membina" akan diterima untuk didirikan di dalam negara ini. Segala bentuk industri yang memusnahkan akan ditolak untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat Malaysia tidak akan diancam.
Anak Muda
1) Kementerian Belia dan Sukan perlu mempunyai sebahagian besar pemimpin muda untuk memahami dan membentuk dasar serta mewakili belia.
2) Membenarkan belia (termasuk mereka yang berada di universiti) untuk menyertai politik dengan bebas. Ini hak asasi setiap individu dalam masyarakat.
3) Parti Rakyat Malaysia (PRM) turut menyokong penuh pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Parti Rakyat Malaysia (PRM)
Malaysian People's Party
7D Jln 1/48, Petaling Utama
46150 Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan.
HIDUP RAKYAT