Thursday, April 11, 2013

Pilihanraya Kerajaan Tempatan dan Disentralisasi Kerajaan

Baru-baru ini, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) telahpun mengemukakan kepada orang ramai manifesto pilihanraya mereka masing-masing bagi memenangi hati dan sokongan daripada rakyat jelata pada pilihanraya umum ke-13 (PRU13) yang dijangka akan diadakan pada 5 Mei 2013 depan. Sama ada isi kandungan manifesto masing-masing itu mempunyai persamaan tidak menjadi isu. Yang lebih penting di sini adalah sama ada BN ataupun PR boleh menunaikan segala janji-janji mereka selepas PRU13 nanti, namun itu juga masih bergantung kepada BN atau PR, gabungan mana yang akan berjaya mencapai tangannya ke Putrajaya nanti.

Pertama, perkara pokok yang gagal disebut di dalam kedua-dua manifesto BN dan PR di sini adalah berkenaan dengan kedudukan Akta Kerajaan Tempatan. Rakyat jelata selama ini memang inginkan sesuatu perubuhan dan pembaharuan yang lebih efektif di dalam perkara ini oleh kerana masalah-masalah yang melibatkan perkhidmatan kerajaan tempatan yang sehingga kini masih tidak memuaskan hati rakyat jelata. Pelbagai bentuk perkhidmatan kerajaan tempatan seperti khidmat pungutan sampah, pembuangan sisa-sisa, sistem perparitan dan jalanraya, tiang lampu, terlalu banyak karenah birokrasi, kelemahan di dalam perkhidmatan pelanggan, kurangnya pembaharuan di dalam infrastruktur tempatan dan banyak lagi.

Di dalam perkara di atas, BN langsung tidak menyebut mengenai perlunya agar pembaharuan dapat dilaksanakan di dalam perkara ini, lantas kita akan beranggapan bahawa BN tidak akan berminat mengketengahkan perkara tersebut apabila berkempen lagi kerana BN lebih selesa dengan kedudukan kerajaan tempatan yang ada sekarang di mana kesemua yang dipertua majlis, datuk-datuk bandar, ahli-ahli majlis dan dewan bandaraya adalah dilantik secara langsung. Yang pasti, BN tidak akan sekalipun membenarkan pilihanraya di adakan di peringkat kerajaan tempatan.

Manakala di sebelah PR pula, memang tidak dapat dinafikan bahawa parti komponen PR, DAP selama ini telah memperjuangkan pemansuhan Akta Kerajaan Tempatan bagi membolehkan pilihanraya kerajaan tempatan diadakan di peringkat majlis daerah, perbandaran dan dewan bandaraya. Di dalam manifesto PR kali ini, ianya tidak menyebut secara khusus mengenai tajuk tersebut, sama ada mereka akan memansuhkan akta itu bagi membolehkan pilihanraya kerajaan tempatan diadakan. Di dalam pilihanraya umum yang lalu pada tahun 2008, manifesto DAP ada secara khusus menyebut mengenai perkara ini, tetapi rakan DAP di dalam PR, iaitu PKR dan PAS tidak menyebut perkara tersebut di dalam manifesto masing-masing.

Yang kita amat pasti sekarang adalah BN sememangnya tidak akan merombak apa-apa peruntukan di dalam Akta Kerajaan Tempatan kerana mereka berkeras mahu mengekalkan kedudukan kerajaan tempatan yang ada sekarang, manakala di pihak PR pula, mereka tidak memberikan komitmen mereka yang menyeluruh mengenai akta tersebut yang telah lama menjadi penghalang kepada pembaharuan yang perlu dilaksanakan di peringkat kerajaan tempatan.

Kedua, disentralisasi kerajaan yang membolehkan kerajaan-kerajaan negeri mempunyai lebih kuasa dan kata putus di dalam hal-hal kerajaan tempatan, perlantikan dan pertukaran pegawai-pegawai kerajaan negeri, perlaksanaan dasar, isu-isu berkaitan dengan pentadbiran tanah, perkhidmatan pembekalan air, pengangkutan awam, khidmat pembentungan dan banyak lagi yang telah sekian lama menjadi suatu beban kepada rakyat jelata di kebanyakan kawasan di seluruh negara. Cabaran utama di sini adalah terdapat banyak konflik dan pelbagai bentuk pertindihan kuasa di dalam beberapa jenis perlaksanaan dasar yang membabitkan kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan sehinggakan ianya melibatkan penderitaan rakyat jelata yang tidak berdosa.

Kita ambillah satu contoh yang terbaru, krisis pembekalan air di negeri Selangor yang disebabkan oleh Syabas, sebuah syarikat konsesi bekalan air yang dimiliki oleh kerajaan persekutuan telah banyak kali gagal di dalam menghalang krisis air di negeri tersebut daripada berlanjutan dengan begitu lamanya. Oleh kerana kerajaan negeri Selangor hanyalah sekadar pemegang saham yang paling minimum dalam Syabas, kerajaan negeri tidak dapat berbuat apa-apa bagi melaksanakan pembaharuan pada syarikat tersebut yang kini dalam keadaan yang tenat.

Kerajaan negeri Pulau Pinang pada awalnya telah menentang keras pemindahan milikan syarikat bekalan air negeri tersebut kepada kerajaan persekutuan dan sejak daripada itu, telah berjaya menguruskan syarikat bekalan airnya dengan baik sehinggakan syarikat bekalan air tersebut menjadi sebuah badan kerajaan negeri yang paling untung di dalam negara ini.

Perkara yang seterusnya adalah pengurusan perkhidmatan pungutan sampah yang dahulunya di bawah kuasa kerajaan-kerajaan negeri kini telah diambil alih oleh kerajaan persekutuan melalui beberapa konsortium-konsortium yang dilantik. Kecuali negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan Perak, kesemua kerajaan negeri difahamkan telah menyerahkan sepenuhnya kuasa dan pengurusan perkhidmatan tersebut kepada kerajaan persekutuan untuk diuruskan.

Bagi perkhidmatan pengangkutan awam pula, masalah ini telahpun berlarutan dengan begitu lamanya dan sehingga kini, masih belum ada jalan penyelesaian yang berkesan. Buat masa sekarang terdapat tiga buah agensi kerajaan persekutuan yang mempunyai kuasa dan kata putus terhadap perkhidmatan pengangkutan awam ini, yakni, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (CVLB), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pegangkutan Awam Darat (SPAD). Di kebanyakan keadaan, dasar-dasar, undang-undang serta peraturan yang ditetapkan oleh ketiga-tiga agensi persekutuan ini biasanya bertindih dan bercanggah di antara satu sama lain, dan ada pula yang telah diduplikasikan sehinggakan ianya menimbulkan kekeliruan dan percanggahan apabila adanya penguatkuasaan, pemberian lesen, perkhidmatan dan pematuhan.

Disebabkan oleh pelbagai jenis karenah dan masalah di dalam sektor pengangkutan awam ini, kerajaan-kerajaan negeri tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut apabila adanya aduan-aduan daripada rakyat jelata mengenai ketidakberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam di negeri-negeri masing-masing. Disebabkan oleh kelemahan dalam perkhidmatan pengangkutan awam yang telah lama berlanjutan dan tiadanya jalan penyelesaian yang muktamad, rakyat jelata terpaksa memilih untuk membeli dan menggunakan kenderaan milik sendiri untuk ke mana-mana. Akibat daripada itu, jumlah kenderaan di atas jalanraya telah meningkat dengan begitu mendadak sekali sehinggakan ianya menyebabkan kesesakan lalulintas yang paling buruk sekali dalam negara ini. Kita tengoklah keadaan di negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sekarang, khususnya di kawasan-kawasan bandaraya yang penuh sesak dengan kenderaan pada setiap hari.

Kerajaan persekutuan boleh membina seberapa banyak jambatan, jejambat, lebuh-lebuhraya serta terowong-terowong, namum, ianya tidak akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di dalam negara ini dengan berkesan jika sekiranya mutu perkhidmatan pengangkutan awam tidak diperbaiki dengan sepenuhnya dan ianya akan terus menjadi suatu beban kepada rakyat jelata yang kini sedang menggunakan kenderaan milik sendiri untuk ke mana-mana.

Isu yang seterusnya adalah berkenaan dengan pegawai-pegawai perkhidmatan awam yang sedang berkhidmat untuk kerajaan-kerajaan negeri. Kepada siapakah mereka perlu bertanggungjawab, kerajaan-kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan? Sewaktu pegawai-pegawai perkhidmatan awam ini berkhidmat untuk kerajaan negeri, daripada siapakah mereka sepatutnya mendapatkan arahan? Kerajaan-kerajaan negeri atau persekutuan? Keadaan ini sememangnya telah banyak mengelirukan, bercanggah dan kadangkala bertentangan di antara satu sama lain.

Yang jelas di sini adalah semua pegawai-pegawai awam, baik yang berkhidmat di bawah kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan adalah di bawah kawal selia Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perlantikan, kenaikan pangkat, pertukaran pegawai dan pengurusan pembayaran gaji-gaji pegawai-pegawai awam. Manakala JPA pula adalah dikawal selia oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Oleh kerana kuasa dan pengurusan perkhidmatan awam ini adalah dipusatkan sepenuhnya di peringkat persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri langsung tidak mempunyai kuasa ataupun kata pemutus di dalam hal-hal yang berkaitan dengan para pegawai-pegawai awam seperti perlantikan, kenaikan pangkat, pertukaran dan sebagainya. Keadaan yang seringkali berlaku, apabila sesebuah kerajaan negeri yang ingin mencalonkan pegawai-pegawai pilihan mereka untuk menjawat sesuatu jawatan dalam kerajaan negeri, JPA pula akan mengemukakan calon-calon mereka untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut sambil mengetepikan pilihan yang dibuat oleh kerajaan negeri.

Perkara yang sama turut berlaku di dalam pengurusan peringkat kerajaan tempatan di mana apabila kerajaan-kerajaan negeri merancang untuk memperturunkan arahan dasar yang baru ke peringkat kerajaan tempatan, yang dipertua majlis perbandaran atau daerah dan datuk bandar dengan tiba-tiba ditukarkan oleh JPA ke jabatan-jabatan lain tanpa terlebih dahulu memaklumkan perkara tersebut kepada kerajaan negeri. Akibat daripada perbuatan JPA itu, seringkali terjadi dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri terbantut dan tergendala kerana ketiadaan pegawai-pegawai pelaksana secara tiba-tiba. Selain dari itu, penantian perlantikan baru oleh JPA juga sering tertangguh tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Kerajaan-kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menanti ketibaan pegawai-pegawai awam lantikan JPA yang baru bari mengisi kekosongan yang timbul kerana kerajaan-kerajaan negeri tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa di dalam menentukan sama ada pegawai ini perlu dikekal, dinaikan pangkat atau ditukar serta ditugaskan ke projek-projek ataupun mengikut kepakaran yang diperlukan di dalam pentadbiran negeri. Hakikatnya adalah tidak ada langsung sebarang undang-undang atapun peruntukan yang membolehkan kerajaan-kerajaan negeri menahan atau membatalkan sebarang keputusan yang telah dikeluarkan oleh JPA.

Kita tengoklah contoh, apa yang telah berlaku pada kerajaan negeri Selangor sebelum ini. Kerajaan negeri dan JPA masing-masing telah mengemukakan calon-calon pilihan mereka untuk menjawat jawatan setiausaha kerajaan negeri (SUK) dan ianya telah menimbulkan perbalahan apabila JPA gagal memaklumkan  terlebih dahulu kepada kerajaan negeri mengenai aturan perlantikan barunya secara rasmi. Seorang yang dipertua majlis perbandaran yang secara tiba-tibanya telah ditukarkan ke sebuah jabatan persekutuan apabila beliau mengeluarkan kenyataan umum menyokong suatu dasar yang dipelopori oleh kerajaan negeri. Di Pulau Pinang, perkara seumpama turut berlaku, dengan menyaksikan pertukaran yang kerap di kalangan pegawai-pegawai awam kerajaan negeri yang saling bertukar ganti dalam masa yang singkat tanpa dimaklumkan secara rasmi kepada kerajaan negeri.

Masalah-masalah dan pelbagai bentuk cabaran yang diketengahkan di atas ini adalah merupakan isu-isu yang utama yang membabitkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat jelata. Kita juga sedar bahawa terdapat juga masalah-masalah lain yang berkait dengan perkara-perkara yang diketengahkan di sini yang kebanyakan adalah disebabkan oleh kelemahan struktur kerajaan tempatan yang ada sekarang serta pemusatan perkerajaan yang sepenuhnya. Namun demikian, bagi memberikan penekanan yang menyeluruh terhadap perubahan kepada keadaan sekarang, kita perlulah memberikan perhatian yang lebih terhadap perkara-perkara pokok di peringkat atasan sebelum kita beralih kepada peringkat yang seterusnya.

Di dalam menentukan sama ada pembaharuan tersebut dapat dilaksanakan atau sebaliknya, rakyat jelata haruslah menggunakan pemikiran mereka dengan lebih bijak apabila melaksanakan undian mereka di dalam PRU13 yang akan datang. Masa hadapan rakyat jelata adalah bergantung sepenuhnya kepada bagaimana undi mereka diajukan dan kepada siapa.