Thursday, January 15, 2015

Adakah Akta Hasutan dan Akta Tahanan Tanpa Bicara dapat membanteras keganasan?

Oleh Koh Swe Yong, Naib-Pengerusi PRM

Parti Rakyat Malaysia (PRM) membantah pengekalan Akta Hasutan dan cadangan menggubal semula Akta Tahanan Tanpa Bicara.

Kenyataan Ketua Polis Negara Khalid bahawa peristiwa pembunuhan 12 orang di pejabat majalah Charlie Bebdo di Paris Perancis baru-baru ini adalah contoh yang baik Akta Hasutan 1948 harus dikekalkan, menunjukkan beliau berfikiran tegar dan kekal, tidak boleh ubah dan tidak idea baru unuk menghadapi perkembangan pesat dan baru dalam negeri dan di dunia .

PRM juga membantah cadangan dan pertimbangan Peguam Negara serta pihak tertentu mengambil keadaan baru untuk menggubal dan melaksanakan semula akta tahan tanpa bicara (detention without trial) atau memasukkan unsur tahan tanpa bicara dalam mana-mana Akta sedia ada.

Dapatkah Akta Hasutan atau tahan tanpa bicara mencegah perbuatan ganas dan jenayah? Siapakah sebenarnya akta-akta tersebut hendak melindungi ? Rakyat atau elit berkuasa?

Pengalaman pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang telah dimansuhkan dan dilaksanakan selama lebih 50 tahun, pendakwaan dengan Akta Hasutan terhadap pemimpin pembangkang serta aktivis NGO dan sosial adalah bukti nyata matlamat pelaksanaan ISA dan Akta Hasutan adalah untuk UMNO—BN menyekat dan menekan kebebasan hak rakyat bersuara dan melindungi kepentingan golongan elit berkuasa.

Hidup rakyat kian susah. Rakyat makin tidak berpuas hati dengan dasar UMNO-BN dan bangkit membantah dan hendak mengubah pemerintah. Sekarang ISA tidak ada lagi, pihak berkuasa mengguna Akta Hasutan dan mahkamah untuk menutup mulut rakyat, supaya pemerintahan UMNO—BN dapat dipanjangkan.

Perbuatan sedemikian bertentangan amalan demokrasi walaupun PM Najib sedar dan bersetuju memansuhkan Akta Hasutan dua tahun yang lalu, tetapi membuat pusingan-U dan hendak mengekalkannya pula.

Masalah negara banyak. Masalah rasuah, segelintir elit berkuasa monopoli sumber dan kekayaan negara, jurang antara kaya dan miskin makin luas, harga barangan melambung naik, keruntuhan nilai sosial, pendidikan dan keselamatan, pejenayah dan penyalahgunaan dadah melanda, alam persekitaran dicemar dan dieksploitasi sewenang-wenang, daya persaingan negara jatuh, banjir, kemarau dan catuan air kerap berlaku lagi genting. Kesemua masalah sedang menunggu penyelesaian yang berkesan oleh pihak pemerintah.

Tetapi pihak elit bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah dan kesempitan hidup rakyat yang dicipta-buat oleh mereka, selain memecah perintah rakyat dengan isu-isu perkauman dan agama, mulut rakyat juga ditutup dengan mengguna Akta Hasutan dan mahkamah, pandangan mereka tidak didengar, ketidakpuasan rakyat ditekan, serta seribu satu daya dicari untuk mengekalkan kuasa kongkongan elit politik.

Negara ini perlu berubah. Akta-akta seperti Akta Hasutan dan tahanan tanpa bicara tidak dapat membanteras kegiatan keganasan dan jenayah. Langkah progresif dan adil ialah jawapan.