Oleh Koh Swe Yong, Naib-Pengerusi PRM
Kebelakangan ini, menjelang tahun 2015 negeri Pantai Timur khususnya di Kelantan dan di utara Malaysia Barat serta Sabah di Malaysia Timur dilanda banjir yang teruk, seperti berlaku tsunami, lebih daripada 200,000 mangsa terpaksa dipindah, kerugian harta benda yang sangat besar, nyawa penduduk terancam dan kehidupan mereka terganggu .
Bencana buruk ini adalah ekoran daripada pembalakan hutan dan eksploitasi tanah untuk apa yang dikatakan “pembangunan” yang tidak terkawal, terancang dan dilakukan secara melampau. Perubahan cuaca global memburukkan lagi keadaan banjir. Akhirnya, rakyat jelata menjadi mangsa dan korban.
Pihak yang memerintah sama ada kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) tidak memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat.
Perubahan cuaca dalam negara dan cuaca dunia luarbiasa lumrah dilaporkan. Banjir, salji, taifun, puting beliung dan kemarau lebih kerap dan lebih dahsyat daripada yang lepas menyerang di rantau negara China, Amerika, Australia atau Filipina. Dalam negara kita, perubahan cuaca pun amat jelas, pada masa cuaca panas dan tidak berhujan, jerebu dan kekurangan air berlaku sehingga catuan air dipaksa pada pengguna di Lembah Kelang dan di Mersing Johor atau di Negeri Sembilan. Apabila hujan lebat, berlakulah tanah runtuh dan banjir kilat seperti di Ringlet dan Bertam Valley , Cameron Highlands atau banjir lumpur kilat di Rawang dan Kajang Selangor. Angin kencang seperti tornado juga dilaporkan berlaku di Kedah. Rakyat menanggung bencana alam buatan manusia.
PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) dan saintis di merata dunia juga menyimpul daripada pengkajian bahawa kegiatan manusia telah banyak mengubah iklim dunia, dan menyeru kepada pemerintah-pemerintah mengambil langkah-langkah untuk meredakan keburukan perubahan cuaca, supaya kewujudan manusia di bumi ini tidak terancam dan kekal selamat. Walaupun banjir teruk yang berlaku, memperlihatkan kerajaan BN atau PR langsung tidak menghiraukan gejala-gejala buruk cuaca ini, serta merangka strategi untuk menangani perubahan yang mengancam ini.
Kerajaan BN dan PR harus sedar dan belajar daripada peristiwa buruk ini, ubah pemikiran mereka. Selama ini, pembangunan yang dijalankan adalah ekspolitasi sumber-sumber alam bukannya pembangunan. Kerajaan perlu hentikan eksploitasi sumber alam , hutan dan tanah dengan sewenang-wenangnya, dan usaha tidak memanfaakan rakyat dengan mengalihkan perhatian rakyat bahawa banjir buruk ini adalah takdir.
Kerajaan harus merangka satu strategi baru dengan menggembleng tenaga akademik transdispilin institusi penggajian tinggi, memberikan peruntukan yang mencukupi untuk mengkaji cuaca, masalah air dan alam persekitaran supaya strategi pembangunan negara menyeluruh dan boleh menampung kehendak masa depan rakyat. Jika tidak berbuat demikain, bencana lebih dahsyat akan menimpa dan rakyat akan menanggung keperitan dan kesengsaraan.