Umno sudah kehabisan modal. Oleh kerana mereka telah kehabisan modal, Umno sehingga kini masih lagi tidak berani untuk mengumumkan pembubaran parlimen. Kata mereka, Umno dan Barisan Nasional (BN) begitu yakin sekali akan dapat mencapai kemenangan besar di dalam pilihanraya umum (PRU13) yang akan datang, tetapi mereka pula yang asyik menunda pembubaran parlimen.
Ya, Umno sudah pun ketandusan modal. Mereka ini sudah ketandusan segala-gala kebaikan yang ada padanya sehinggakan mereka terpaksa menggunakan agenda-agenda yang melibatkan keganasan, perkauman dan yang paling terbaru pornografi (adegan atau lakonan seks dalam video).
Selaku rakyat Malaysia, ianya sememangnya menyedihkan kita kerana di dalam negara ini terdapat sebuah parti politik yang telah berkuasa lebih daripada lima puluh lima tahun sanggup melakukan perkara-perkara yang keji ini demi untuk mengekalkan kuasanya. Apakah parti tersebut sudah tidak ada lagi dasar-dasar yang dapat diketengahkan kepada rakyat dan negara, sehinggakan agenda-agenda keganasan, perkauman dan pornografi terpaksa digunakan pada saat-saat yang sebegini.
Sudah lupakah Umno, bahawa negara kita yang di sebut Malaysia ini mempunyai pelbagai kaum, kebudayaan dan agama yang sangat menitikberatkan budaya-budaya dan tingkahlaku yang sopan santun, serta perlakuan modal yang beradat serta bertamadun?
Jika sekiranya Umno itu masih mendakwa diri mereka ini sebagai pejuang tunggal hak-hak orang-orang Melayu dan agama Islam, halal tak jika parti tersebut asyik memain-mainkan keganasan, sentimen perkauman dan penayangan filem atau video yang berunsurkan seks bebas? Adakah kesemua bentuk perlakuan ini seiiring dengan apa Umno perjuangkan selama ini?
Apa yang Umno sedang lakukan sekarang ini bukannya untuk memperjuang atau mempertahankan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan agama Islam pada amnya, tetapi sebaliknya apa yang mereka sedang lakukan ini kesemuanya akan merosakkan masyarakat yang kononnya mereka wakili dan fahaman agama yang mereka dakwa pertahankan selama ini.
Kita tengoklah masyarakat yang Umno asyik mendakwa telah mempertahankannya selama lebih daripada lima puluh lima tahun lamanya, apa yang sudah terjadi? Masyarakat tersebut pada majoritinya masih mundur dan tidak mendapat bekalan asas seperti elektrik, air dan jalanraya yang sempurna di kawasan-kawasan penempatan mereka, kadar jenayah dalam negara ini semakin meningkat dan ini pun majoritinya datang daripada masyarakat tersebut, keruntuhan akhlah dan moral, salahlaku seks, berkembangnya gejala mat rempit, samseng jalanan dan apajua yang bertentangan dengan agama turut datangnya daripada masyarakat tersebut.
Jadi, apa yang Umno telah dan sedang buat di dalam usaha menangani masalah tersebut? Tidak ada sebenarnya, sebaliknya Umno telah mempergunakan golongan yang telah runtuh akhlak dan moral mereka untuk membantu melakukan keganasan politik bagi menentang lawannya, iaitu parti-parti pembangkang dengan melabelkan kesemua mereka ini dengan pelbagai nama-nama NGO agar Umno tidak diheret ke dalam kancah tersebut apabila terjadinya sesuatu yang tidak diingini.
Mungkin ramai di antara kita masih tidak tahu, akan tetapi Tuhan dan Allah s.w.t. sedang memerhati segala tindak-tanduk manusia di bumi ini dan akan memastikan mereka-mereka yang bersalah itu menerima hukuman yang setimpal di suatu hari nanti.
Sudah cukuplah dengan tempoh selama lima puluh lima tahun ini. Sepatutnya negara ini akan maju ke hadapan, akan tetapi, apa yang Umno sedang lakukan ini akan membawa negara kita kembali ke zaman Jahiliah. Jahiliah itu bermaksud, sesebuah negara atau masyarakat yang sangat mundur dari segi akhlak dan sosial.
Baiklah kita usahakan perubahan untuk negara dan generasi kita yang akan datang sekarang daripada memikirkan apakah yang akan berlaku sekiranya sebuah kerajaan baru dibentuk. Fikirkanlah akibatnya, jika Umno terus diberikan "mandat". Kepentingan negara kita perlu diutamakan.